KUALA LUMPUR – Malaysia terus menarik pelaburan langsung baharu dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama pada separuh pertama 2018 (1H18) dengan jumlah kelulusan sebanyak RM80.2 bilion.
Angka naik sebanyak 17.7 peratus berbanding RM68.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, sektor perkhidmatan negara terus menyumbang bahagian terbesar pelaburan diluluskan iaitu RM50.9 bilion.
Ujarnya, sektor pembuatan kekal berdaya tahan dan mencatatkan pelaburan RM20.2 bilion daripada 287 projek pembuatan bagi separuh pertama 2018 berbanding RM16.7 bilion daripada 299 projek dalam tempoh yang sama tahun lalu.
“Sementara itu, sektor utama menyumbang RM9.1 bilion kepada jumlah projek yang diluluskan pada separuh pertama 2018.
“Pelaburan yang diluluskan pada Januari hingga Jun (2018) adalah dari 2,346 projek.
“Ia dijangka menjana 60,181 peluang pekerjaan di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
MIDA berkata, walaupun berdepan dengan persaingan yang semakin meningkat dan persekitaran luaran yang mencabar, Malaysia kekal sebagai lokasi pelaburan kompetitif bagi pelabur asing.
“Pelaburan asing meningkat sebanyak 35.3 peratus kepada RM26.5 bilion pada 1H18 daripada RM19.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, khususnya dalam sektor pembuatan dan utama.
“Di samping itu, pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM53.7 bilion kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ketiga-tiga sektor tersebut,” jelasnya.
MIDA menambah, prestasi pelaburan domestik juga menyaksikan kenaikan 10.5 peratus daripada RM48.6 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama










