DUNGUN – Seorang pekerja pelantar minyak di Kemaman maut manakala isteri dan bayi lelaki mereka cedera selepas kereta Perodua Kelisa yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Kilometer 343.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Paka dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, Muhammad Aniq Hakim Rozmi, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala isterinya, Nur Fatinie Rokhman, 24, dan bayi mereka, Muhammad Adam Rizqi yang berusia setahun enam bulan cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, tiga sekeluarga itu difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kemaman selepas pulang bercuti hujung minggu ke kampung di Kota Bharu, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa yang mereka naiki tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan.
“Impak daripada rempuhan itu, mangsa (Muhammad Aniq Hakim) tersepit di dalam tempat duduk pemandu kereta tersebut yang remuk teruk,” katanya kepada Kosmo! semalam.











