KUALA TERENGGANU 9 Okt. – Kementerian Sumber Manusia kini memberi fokus terhadap program Town Hall anjuran Jawatankuasa Bebas Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang antara lain bagi menentukan langkah berkesan dalam mengurangkan kebergantungan kepada golongan itu ke tahap 10 peratus.
Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, tahap kebergantungan kepada pekerja asing pada 2008 adalah sekitar 19.3 peratus dan jumlah itu mencatatkan penurunan 7.6 peratus dalam tempoh 10 tahun kepada 11.7 peratus pada tahun ini.
Beliau menjelaskan, kementerian memang menetapkan standard ke tahap 15 peratus kebergantungan kepada pekerja asing, namun peratusan itu dijangka mampu dikurangkan ke tahap paling ideal iaitu 10 peratus dalam menangani isu pekerja asing yang terlalu ramai.
“Kita nak kekalkan kerana keperluan sebenar dengan sekarang adalah 11.7 peratus terutama melibatkan tiga sektor utama iaitu pembuatan, pembinaan dan perladangan,” katanya.
Mahfuz menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sesi Town Hall Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak dekat sini hari ini.











