SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan sebanyak RM1,000 daripada pemilik kilang plastik di daerah berkenaan.
Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia 58 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Shah Alam, P. Sarulatha, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurut sumber, pegawai daripada balai bomba dan penyelamat Klang itu ditahan di rumahnya di Kapar, Klang pada pukul 7.35 petang semalam.
Sumber memaklumkan, pegawai berkenaan telah pergi ke kilang plastik itu untuk tujuan pemeriksaan keselamatan.
“Bagaimanapun, pegawai bomba itu dipercayai telah meminta dan menerima suapan daripada pemilik kilang sebanyak RM1,000 sebagai dorongan untuk meluluskan pemeriksaan keselamatan yang dilakukan,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE










