MALAM ini boleh dianggap kemuncak kepada kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang memasuki hari kesembilan.
Kehadiran Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad di PD Waterfront, Port Dickson malam nanti sudah tentu ditunggu-tunggu ribuan orang ramai.
Kebiasaannya beliau tidak turun berkempen dalam PRK termasuk semasa menjadi Perdana Menteri pada zaman Barisan Nasional dulu. Namun kali ini ada pengecualian semata-mata memastikan kemenangan calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini tentunya peluang untuk melihat semula gandingan Dr. Mahathir-Anwar berkongsi pentas ceramah pilihan raya sekali lagi selepas puluhan tahun.
Kempen yang turut dihadiri beberapa pemimpin utama PH malam ini bakal menghantar isyarat positif kepada pengundi Port Dickson serta memperkukuhkan lagi peluang Anwar untuk memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada 13 Oktober.
Kedatangan Dr. Mahathir amat penting bagi meredakan desas-desus kurang enak tentang hubungannya dengan Anwar yang sedang berlegar-legar dan menimbulkan resah dalam kalangan rakyat.
Kalau boleh pengundi mahu malam ini membuka lembaran lebih positif dalam hubungan kedua-dua pemimpin selepas pertembungan antara mereka lebih 20 tahun.
Yang paling penting rakyat di seluruh negara mahu Port Dickson menjadi titik tolak restu Dr. Mahathir kepada Anwar untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri selaras dengan pelan peralihan kuasa yang dipersetujui PH.











