JOHOR BAHRU 29 Okt. – Kemeriahan menyambut perayaan Deepavali semakin terasa terutama apabila melalui kawasan Little India di Jalan Ungku Puan di pusat bandar raya ini.
Pastinya orang ramai yang melalui jalan tersebut akan tertarik dengan hiasan deretan payung berwarna-warni digantung sepanjang laluan pejalan kaki.
Hiasan payung sepanjang kira-kira 100 meter itu menceria dan menghidupkan pemandangan sekali gus menjadi tarikan gerai-gerai jualan di kiri kanan jalan berkenaan.
Kawasan tersebut lazimnya saban tahun menjadi tumpuan terutama masyarakat India untuk membeli-belah keperluan perayaan itu yang akan disambut bulan depan.
Ini merupakan kali pertama Persatuan Kebudayaan India membuat perhiasan seumpama itu dan menjadi tarikan pelancong merakam gambar dan video kenangan sambil membeli-belah.
Pelbagai barangan termasuk kuih-muih, pakaian tradisional serta kelengkapan harian di jual sepanjang laluan pejalan kaki itu yang merupakan satu keunikan di bandar raya ini.










