TEMERLOH 29 Okt. – Kejohanan Sepak Takraw Tertutup Pahang anjuran Parlimen Temerloh yang julung kali diadakan tahun ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 48 pasukan dari seluruh negeri ini.
Kejohanan itu menyaksikan pasukan Zamzamora dari Kuantan muncul sebagai juara untuk membawa pulang wang tunai RM700 dan piala selepas menewaskan pasukan dari Bentong dalam pusingan akhir.
Pengelola program, Aizat Ruslan berkata, kejohanan sehari itu dihadiri kira-kira 250 orang termasuk pemain daripada semua daerah di negeri ini.
“Program kali ini mendapat sambutan yang amat baik apabila disertai pemain daripada seluruh daerah di negeri ini yang menonjolkan bakat dan kebolehan yang baik dalam permainan sepak takraw.
“Saya berharap kejohanan ini terus mendapat sambutan pada masa akan datang sekali gus mampu menonjolkan bakat baharu dalam sukan ini,” katanya pada majlis perasmian kejohanan berkenaan yang disempurnakan Ahli Parlimen Temerloh, Mohd. Anuar Tahir di Gudang Beras di sini semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Anuar berkata, berdasarkan kepada sambutan luar biasa terhadap kejohanan berkenaan, pihaknya bercadang meneruskan penganjuran dengan menjadikannya sebagai kejohanan terbuka pada tahun hadapan.
Selain itu, beliau berharap pelbagai lagi jenis sukan dapat diadakan pada masa akan datang melibatkan lebih banyak penyertaan.
“Saya mahu menjadikan Temerloh sebagai pusat aktiviti sukan yang secara tidak langsung dapat mengangkat kedudukan sukan di negara kita,” ujarnya.










