PULAU PINANG 4 Okt. – Polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta dalam dua serbuan berbeza di sini pada Isnin dan Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, turut dirampas dalam serbuan itu adalah tiga pucuk senjata api serta 81 butir peluru hidup.
Katanya, susulan rampasan itu, pihaknya telah menahan sepasang suami isteri yang masing-masing berusia 52 dan 43 tahun kerana dipercayai menganggotai sindiket penyeludupan dadah terbabit.
“Antara dadah yang dirampas termasuk 21,268 gram dadah disyaki syabu; 21,700 biji disyaki pil WY, empat gram dadah disyaki heroin dan 40 biji pil disyaki Erimin 5 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1,506,250.
“Nilai keseluruhan sitaan pula ialah sebanyak RM40,000 yang terdiri daripada wang tunai sebanyak RM33,000 dan sebuah motosikal jenis Honda MSX125J yang bernilai kira-kira RM7,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah Roslee, pasangan suami isteri itu masing-masing direman sehingga Isnin dan Selasa depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971/Sek 8(a) Akta Senjata 1960.- UTUSAN ONLINE









