TAMIL NADU, India – Perbuatan seorang lelaki yang menjelirkan lidah kepada seekor ketam mengundang padah apabila haiwan air itu bertindak menyepit lidahnya di sini baru-baru ini.
Pada mulanya. Rama Rao, 37, hanya ingin berjenaka bersama kawan-kawannya dengan mengangkat ketam yang dibeli di sebuah pasar untuk dimasak makan malam itu di hadapan mukanya dan menjelirkan lidah kepada haiwan tersebut.
Apabila tidak mendapat tindak balas, Rao kemudiannya mengacu-acukan lidahnya di hadapan penyepit ketam tersebut sebelum dicengkam dengan kuat oleh haiwan itu.
Dalam video yang dirakam oleh salah seorang rakan yang turut berada di tempat kejadian, Rao dilihat menjerit kesakitan kerana ketam tersebut seakan-akan tidak ingin melepaskan sepitnya.
Salah seorang rakannya cuba membantu melepaskan cengkaman tersebut dengan memegang sepit ketam dan memaksanya agar terbuka.
Pada penghujung video, haiwan tersebut akhirnya melepaskan lidah lelaki malang itu dan dapat didengari rakan-rakannya sedang mentertawakan Rao. – Agensi











