PULAU PINANG 1 Okt. – Kerajaan negeri tidak akan menolak sebarang cadangan penambahbaikan sistem pengangkutan di negeri ini sebaliknya bersedia meneliti setiap cadangan tersebut demi kebaikan bersama.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini termasuk cadangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penang Forum yang mahu sistem pengangkutan Transit Aliran Landasan Berautonomi atau ART diguna pakai di negeri ini bagi mengatasi masalah tersebut.
Ujar Kon Yeow, ART adalah produk daripada China Railway Construction Corporation (CRCC) Malaysia dan wakil mereka telah datang ke negeri ini minggu lepas untuk bertemu dengannya bagi membentangkan perkara sama.
“Penang Forum tidak pernah membangkitkan mengenai ART sehingga petang ini (semalam) dan pembentangan mereka (mengenai ART) serta video yang dipaparkan juga sama (seperti yang dibentangkan CRCC Malaysia) sebelum ini.
“Jadi, mungkin tidak berapa adil untuk kita (mengulas lanjut) sebab ini (ART) memang perkara baharu. Namun, kita akan teliti sebelum memberikan jawapan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Forum Awam: Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) berkaitan rancangan pembinaan projek Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL 1) di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.
Hampir 800 peserta mengambil bahagian pada sesi kali ini yang turut melibatkan beberapa pakar perunding projek, kontraktor serta wakil daripada agensi atau jabatan berkaitan.
Difahamkan, sesi forum tersebut juga merupakan sesi penglibatan awam ke-982 oleh kerajaan negeri dengan penglibatan seramai lebih 18,000 orang awam setakat ini.










