Obses dengan jenama Milo - Utusan Malaysia

Obses dengan jenama Milo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TETAMU yang datang ke rumah pada mulanya memang pelik melihat tin-tin Milo ini, tetapi lama-kelamaan mereka rasa terhibur dan kagum dengan hobi saya ini.”

Demikian pengakuan jujur Mohd. Yusof Ali, 39, apabila ditanya bagaimana reaksi tetamu yang berkunjung ke rumah melihat tin-tin serta cenderamata lama dan baharu daripada jenama minuman tersebut, yang disusun kemas di ruang tamu rumahnya, umpama sebuah galeri.

Masakan tidak, bagi penulis sendiri, tin-tin lama ini sepatutnya sudah lama dibuang daripada disimpan menyemakkan mata memandang.

Berbeza pula bagi Mohd. Yusof atau lebih dikenali sebagai Yusof YPI atau Milo Man, yang merupakan pengasas dan pengumpul barangan jenama Milo sejak 15 tahun lalu.

Bersandarkan hobi itu, kini hampir 2,000 produk jenama itu telah terkumpul dalam simpanan, yang disusun rapi menjadi hiasan di rumah.

Antara barangan yang dikumpul termasuklah tin-tin Milo lama yang dikeluarkan sekitar 1950-an, 1960-an sehingga sekarang; iklan-iklan jenama itu lama dan baharu; cenderamata-cenderamata percuma, serta lori dan trak Milo, topi, kasut, cawan, mug, botol air, pembaris, pensel, pemadam, sampul raya, baju-T, penutup sentap tin, anugerah-anugerah yang disampaikan kepada individu tertentu dan banyak lagi.

Semua barangan berkenaan diambil atau dibeli daripada mereka yang sebelum ini pernah mengumpulnya atau membeli di pasar karat di seluruh negara.

Apa yang menarik, Mohd. Yusof sanggup mengeluarkan belanja sendiri untuk mengecat sebuah motosikal jenama Pasolla yang dibelinya di Ipoh, dengan warna hijau.

Dia kemudian mendaftar kenderaan itu dengan nombor plat BP M110, yang kelihatan seperti huruf Milo dan diletakkan di ruang tamu.

Apabila ditanya bagaimana mula menjadikan mengumpul jenama itu sebagai satu hobi, kata Mohd. Yusof, dia memang penggemar tegar minuman itu, yang memang dikenali semua lapisan masyarakat di negara ini sejak dari dahulu.

“Apa yang penting, dengan mengumpul tin-tin ini saya dapat merasakan seolah-olah arwah ayah, Ali Kadir, dekat dengan saya. Ini kerana ketika hidupnya, dia yang ketika itu mengusahakan restoran, gemar mengumpul tin-tin Milo yang digunakan.

“Ada juga tin-tin Milo lama yang disimpannya menjadi antara koleksi dalam simpanan saya sekarang.

“Selain itu, antara barangan yang paling berharga milik saya ialah set cawan serta piring kopitiam tertulis jenama Milo yang dikeluarkan pada 1950-an, yang dibeli daripada seorang individu dengan harga RM2,000.

“Setakat ini, ada yang menawarkan harga lebih tinggi untuk memiliki cawan itu tetapi saya tidak akan sesekali menjualnya. Saya difahamkan cawan ini hanya terdapat tiga biji sahaja,” tuturnya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Raja 2, Klang, Selangor baru-baru ini.

Lelaki ini bekerja sepenuh masa dan hanya pada waktu lapang dia menguruskan hobinya itu.

Mohd. Yusof juga memberitahu, telah mempunyai hampir 300 ahli pengumpul barangan Milo baharu dan lama yang berdaftar dengannya, manakala hobi itu juga dikongsi bersama lebih 4,000 orang di seluruh negara.

Memandangkan pengumpul jenama ini sebagai satu hobi, maka pada waktu senggang mereka akan berhubung untuk bertukar-tukar barangan yang masih tiada dalam simpanan mereka.

Apabila mereka mengkehendaki sesuatu barangan jenama ini mereka perlu membelinya dengan harga tertentu yang ditawarkan oleh si pengumpul berkenaan.

Baru-baru ini set unit trak Milo miliknya telah dibeli oleh pengumpul barangan jenama ini dengan harga RM200.

“Saya sendiri tidak kisah berapa jumlah duit yang perlu dikeluarkan untuk membeli barangan yang tiada dalam simpanan. Saya masih lagi dalam proses mengumpul barangan jenama ini terutama yang jarang atau susah untuk didapati.

“Mula-mula dahulu, isteri saya, Zaitun Sulaiman, 34, pun pelik melihat hobi ini, tetapi sekarang dia tidak kisah lagi, malah senang hati kerana suaminya sentiasa berada di rumah menguruskan hobi ini,” katanya separuh berseloroh.

Sementara itu, Nestle, syarikat pengeluar produk Milo, telah menjemput Mohd. Yusof untuk membuat pameran barang-barang Milo yang dikumpulkannya pada Hari Sarapan Malaysia 2017.

Pembaca boleh melayari Facebook pengumpul barangan Milo lama dan baharu untuk akses kepada hobi ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN