KEHADIRAN pakar flick hoki wanita negara, Nuraini Abdul Rashid nyata bermakna buat kelab Itali, Butterfly Roma HCC apabila sekali lagi berjaya meledak gol bagi membantu pasukan dari Roma itu mengikat HF San Saba 2-2 pada aksi Serie A1 kelmarin.
Ia merupakan gol keempat Nuraini, 29, daripada tiga perlawanan bersama Butterfly Roma sejak menyertai pasukan itu awal bulan lalu.
Pemain dari Pahang itu bermula dengan dua gol menerusi pukulan sudut penalti dan penalti stroke, sekali gus membantu kelabnya bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk mencatatkan keputusan seri 3-3 dengan Pol. Ferrini HC pada aksi pembuka tirai Serie A1, 24 September lalu.
Selepas itu, tonggak pertahanan skuad negara tersebut sekali lagi menggegar jaring di Itali dengan satu gol walaupun Butterfly Roma tewas 2-4 kepada HF Lorenzoni pada 30 September lalu.
Seorang lagi bintang Malaysian Tigress yang juga beraksi dengan Butterfly Roma iaitu pemain tengah, Fatin Shafika Mohd. Sukri turut mempamerkan aksi cemerlang dan masih menantikan peluang untuk meledak gol pertamanya pada saingan Serie A1.
“Saya tiada masalah walaupun masih belum menjaringkan gol. Kalau ada rezeki, saya akan dapat melakukannya, cuma sekarang saya lebih memberi tumpuan kepada prestasi sendiri.
“Saya rasa masih banyak lagi yang saya boleh berikan kepada pasukan ini memandangkan intensiti perlawanan semakin laju dan mencabar kerana berdepan lawan-lawan kuat.
“Perkara paling bernilai saya pelajari adalah jangan memandang luaran pemain sahaja kerana mereka sebenarnya bermain dengan bagus,” katanya.
Nuraini dan Fatin berpeluang menghadiahkan kemenangan pertama buat Butterfly Roma kerana Ahad ini dijadualkan berdepan pasukan tercorot, CUS Padova yang tewas ketiga-tiga perlawanan sebelum berdepan lawan sukar, HC Argentina seminggu kemudian.
HC Argentina kini menduduki tangga kedua dan diperkuatkan dengan tonggak pertahanan yang merupakan pengambil pukulan sudut penalti utama Itali, Agata Wybieralska.











