New Zealand Tanah Kiwi nan permai - Utusan Malaysia

New Zealand Tanah Kiwi nan permai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANCANGAN untuk menjelajah bumi kiwi ini telah direncana setahun lalu. Akhirnya pada 16 Ogos 2018 kami terbang menuju New Zealand.

Negara ini juga dikenali dengan gelaran Aotearoa dalam bahasa Maori yang bermaksud ‘Tanah Berawan Putih Yang Panjang’.

Riak rasa teruja dan cemas bercampur baur apabila kami menjejakkan kaki ke New Zealand. Teruja kerana ini merupakan kali pertama kami akan menjejakkan kaki di negara ini.

Cemas pula kerana kami akan memandu sendiri dan tiada pemandu pelancong yang akan menemani sepanjang perjalanan kami nanti.

Kecemasan bermula apabila kami hampir menjejaki Auckland. Atas arahan yang tegas daripada kerajaan New Zealand, krew penerbangan telah memastikan tetamu yang akan menjejakkan kaki di bumi New Zealand bersih dan sihat.

Pihak krew telah menyembur sejenis cecair bagi memastikan syarat tersebut dipatuhi.

Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland kami jejaki sekitar jam 7 malam waktu tempatan.

Udara dingin menyerbu ke tubuh. Kami masih perlu mengambil satu lagi penerbangan domestik ke Christchurch.

Akhirnya menjelang jam 11 malam, kami sampai ke Christchurch setelah mengharungi penerbangan sekitar sejam setengah.

Kia Ora (selamat datang) merupakan kata-kata pertama dari bahasa Maori yang menangkap pandangan kami.

Sahabat kami Musa Ibrahim yang bertindak sebagai ketua terus mengambil van yang ditempah awal. Lesen memandu?

Tidak menjadi masalah kerana New Zealand mengiktiraf lesen memandu Malaysia.

Sudah menjadi kelaziman pelancongan di New Zealand, pelancong lebih gemar memandu sendiri dengan menyewa van atau campervan.

Dua buah van bergerak menuju ke motel penginapan. Pada malam itu kami menginap di Christchurch.

Bandar terbesar

Bandar Christchurch merupakan sebuah bandar yang terletak di pesisir timur Pulau Selatan di New Zealand dan merupakan bandar terbesar di pulau itu.

Ia juga merupakan bandar ketiga terbesar di New Zealand selepas Auckland dan Wellington. Dalam bahasa Maori, Christchurch disebut Otautahi.

Nama Christchurch diberikan oleh Pertubuhan Canterbury, dipengerusikan oleh John Robert Godley pada 27 Mac 1848.

Oleh kerana sukar untuk mendapatkan makanan halal, kami telah membawa keperluan untuk memasak. Pada keesokkan harinya kami memulakan lawatan ke Christchurch City Centre.

Kami menikmati pemandangan Christchurch dari atas tram yang membawa kami mengelilingi bandar tersebut.

Pengaruh keinggerisan begitu ketara dengan adanya tram berwarna merah mengitarinya. Christchurch, bandar dalam taman yang bersih.

Malah, Christchurch sangat terkenal sebagai sebuah bandar yang membekalkan air minuman yang bersih serta berkualiti, tulen dan jernih.

Ia merupakan pembekal air terbaik di dunia kerana air yang dibekalkan itu disalurkan dengan menggunakan saluran paip awam yang sesuai untuk kegunaan domestik bagi tujuan minuman.

Airnya ditapis secara semulajadi dan tidak perlu dirawat terlebih dahulu dengan menggunakan sistem bekalan air.

Sumber air yang diperolehi ini datangnya dari air sungai di kaki bukit Pergunungan Alps Selatan.

Sepanjang perjalanan menaiki tram kami melihat begitu banyak lakaran di dinding bangunan berupa mural yang cantik.

Di Christchurch seperti bandar-bandar lain di New Zealand, kami mendapati tiada bangunan pencakar langit dibina.

Kami maklum hal ini kerana New Zealand merupakan negara yang terdedah kepada ancaman gempa bumi.

Menurut Alya, pelajar Malaysia di Universiti Canterbury yang kami temui, gempa terbesar berlaku di tanah kiwi ini ialah pada 2011.

Bersambung minggu hadapan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×