SEREMBAN – Negeri Sembilan diisytiharkan bebas daripada wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.
Beliau berkata, langkah pencegahan yang diambil Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) dalam menangani wabak itu terbukti berkesan berdasarkan statistik terkini dikeluarkan jabatan berkenaan yang menunjukkan penurunan ketara sejak bulan lalu.
“JKNS hanya merekodkan dua kes HFMD pada minggu ke-42 tahun ini berbanding tiga kes pada minggu sebelumnya.
“Penularan wabak HFMD berjaya dikawal dengan pelbagai langkah termasuk kempen berterusan membabitkan pengusaha tadika dan taska di seluruh negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Kempen Kanak-Kanak Bebas Kaviti di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ahamad Jusoh dan Pengerusi Persekutuan Bebas Kaviti Masa Depan (ACFF) Malaysia, Profesor Dr. Rahimah Abdul Kadir. – Bernama










