Nahas limousin ragut 20 nyawa - Utusan Malaysia

Nahas limousin ragut 20 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK – Seramai 20 orang terbunuh selepas sebuah limousin membawa pasangan pengantin baharu terbabas dalam kemala­ngan yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai terburuk di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh hampir satu dekad.

Kemalangan berlaku sejurus sebelum pukul 2 petang (waktu tempatan), Sabtu lepas ketika limousin jenis Ford Excursion 2001 itu bergerak menuju ke arah barat daya di lebuh raya Route 30 di Schoharie, sekitar 257 kilometer ke utara Bandar Raya New York.

Limousin itu gagal berhenti apabila tiba di sebuah simpang lalu melanggar sebuah kende­raan utiliti sukan jenis Toyota Highlander tanpa penumpang yang berada di tempat letak kereta dekat simpang tersebut dan sebuah restoran, sebelum merempuh dua pejalan kaki.

Pelanggaran kuat itu meng­akibatkan kesemua 18 penum­pang dan pemandu limousin serta dua pejalan kaki tersebut terbunuh, kata polis negeri New York dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB).

“20 kematian adalah mengerikan. Saya berada dalam NTSB selama 12 tahun dan ini merupakan antara kehilangan nyawa paling besar pernah saya saksi­kan sejak sekian lama,” kata Pengerusi NTSB, Robert Sumwalt pada satu sidang akhbar kelmarin.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, pihak berkuasa masih keberatan untuk mendedahkan nama-nama mangsa, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan.

Bagaimanapun, akhbar New York Times melaporkan bahawa mereka yang maut termasuk dua pasangan pengantin baharu dan empat adik-beradik perempuan.

Nahas itu merupakan kemalangan pengangkutan terburuk di AS sejak tahun 2009 apabila sebuah pesawat terhempas di Buffalo, New York, mengakibatkan 49 orang terbunuh. – Bernama/ Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN