JOHOR BAHRU 25 Okt. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyCare akan menghantar misi kemanusiaan kedua bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah.

Misi yang diketuai Pengerusi MyCare Johor, Prof. Madya Dr. Mohd. Zin Kandar akan berlepas malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berada di sana hingga Isnin depan.
Menurut Mohd. Zin, selepas kejayaan misi pertama pada 7 hingga 15 Oktober lalu dan mengenal pasti keperluan utama mangsa di Palu dan Donggala, MyCare telah menyusun misi kedua yang akan disertai gabungan aktivis MyCare, doktor, badan korporat dan wakil media.
“Misi kali ini turut disertai wakil daripada pasar raya Econsave, termasuk Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam dan Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor.
“Kita akan membawa pelbagai keperluan untuk membantu mangsa bencana berkenaan termasuk telekung, pek makanan, kit kebersihan wanita dan hadiah untuk kanak-kanak yang dianggarkan kira-kira RM80,000,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyeru orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada mangsa bencana alam itu boleh menyalurkannya menerusi tiga akaun MyCare, iaitu Maybank Islamic (551575004299), CIMB Islamic (8602135592) dan Bank Islam (12092010034904) atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad.










