KUALA LUMPUR 12 Okt. – Muhamad Muslim Yusof berikrar untuk tidak lagi mengulangi kesilapan dilakukannya dalam perlawanan peringkat Kumpulan C dan kini semakin matang untuk menghadapi perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Emas Raja-Raja (PERR) Ke-78, minggu depan.
Penjaga gol Terengganu itu dua kali dibolosi pemain Pahang pada 25 September lalu tetapi kali ini dia bertekad untuk menggunakan kesilapan itu sebagai pengajaran kepadanya bagi menghadapi lawan yang sama nanti.
“Kesilapan saya dan rakan yang menghasilkan dua gol sendiri itu tidak akan berulang dalam perlawanan akhir.
“Saya telah belajar daripada pengalaman itu,” katanya yang mendapat bimbingan bekas pemain Terengganu, Zubir Ibrahim.
Muslim, 24, yang juga kapten Terengganu, mendapat suntikan semangat menjelang perlawanan akhir apabila menghalang sepakan penalti Melaka dalam separuh akhir Isnin lalu. Dia juga merupakan tonggak kelab Terengganu City FC ketika menjulang Piala FAM bulan lalu.
“Itu gelaran juara pertama saya sejak menceburi bola sepak ketika dalam tingkatan dua. Kali ini saya mahu menang Piala Emas Raja-raja pula dengan pasukan negeri,” kata anak jati Kuala Terengganu itu yang hanya dibolosi empat gol dalam enam perlawanan setakat ini.
Sementara itu, Terengganu terpaksa melupakan khidmat Mohd. Asysyam Yusof untuk perlawanan akhir nanti kerana telah mengutip dua kad kuning sekali gus digantung satu perlawanan.











