MPHTJ ambil alih Zoo Melaka dan Taman Burung - Utusan Malaysia

MPHTJ ambil alih Zoo Melaka dan Taman Burung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 1 Okt. – Pemilikan Zoo Melaka dan Taman Burung di Ayer Keroh, di sini kini telah diambil alih sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) daripada syarikat konsortium KKW Sdn. Bhd. berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew berkata, hasil perbincangan pada Jumaat lalu, syarikat tersebut bersetuju untuk menamatkan perjanjian penswastaan Zoo Melaka dan Taman Burung dan diserah milik kepada MPHTJ.

“Pengambilalihan baharu ini bagi menjaga kepentingan dan imej Zoo Melaka serta Taman Burung yang dilihat menjadi ikon pelancongan negeri Melaka. Kita juga akan memberi tempoh selama 14 hari bermula Jumaat lalu hingga 11 Oktober depan kepada KKW Sdn. Bhd.

“Dalam tempoh ini, operasi zoo dan taman burung ditutup bagi kerja-kerja pengauditan dan penambahbaikan drbrlum dibuka semula kepada pengunjung,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, pagi tadi.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPHTJ, Mahani Masbah dan Ketua Pegawai Eksekutif KKW Sdn. Bhd., Datuk Michele Ong.

Pada masa sama, Kok Kiew menegaskan, tindakan tersebut dilakukan dengan mengambil kira kepentingan Zoo Melaka dan Taman Burung sebagai aset kerajaan yang menyumbang kepada sektor pelancongan Melaka.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 70 orang yang bekerja di Zoo Melaka dan Taman Burung sebelum ini di bawah pengurusan KKW Sdn. Bhd. turut ditawarkan untuk meneruskan perkhidmatan bersama MPHTJ.

“Mereka diberi pilihan untuk bersama dengan MPHTJ atau sebaliknya dan akan diserap secara berperingkat. Sehingga September 2018, segala kos penyelenggaraan, operasi dan kutipan hasil jualan tiket masih diuruskan KKW Sdn. Bh., namun kini diuruskan MPHTJ,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN