MANCHESTER 30 Sept. – Para pemain dan staf Manchester United percaya Jose Mourinho bakal dipecat pada hujung minggu ini.
Tekanan yang dirasai Special One itu semakin meningkat selepas skuad bimbingannya terus mempamerkan aksi longlai setelah tumpas 1-3 kepada West Ham.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kelab itu telah dilanda khabar angin bahawa Zinedine Zidane dikatakan bakal menggantikan Mourinho sebagai peneraju pasukan ekoran kekalahan terbaharu yang menimpa Red Devils.
Bagaimanapun, media Britain, Daily Mail mendakwa para pemain dan staf telah berbincang tentang masa depan pengurus mereka sewaktu dalam perjalanan pulang menaiki kereta api dari London dan percaya Mourinho akan dipecat dalam masa terdekat ini.
Kekalahan yang menimpa United menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke-10 dalam carta Liga Perdana Inggeris, dengan hanya tiga kemenangan daripada tujuh perlawanan pembukaan, sembilan mata di belakang pendahulu Manchester City.
Rata-rata anak buah Mourinho pulang ke Stockport, tetapi Paul Pogba, Lindelof, Matteo Darmian dan Luke Shaw, kesemua mereka turun lebih awal daripada kereta api di Wilmslow.
Mourinho pula dipercayai masih berada di London, ekoran tekanan yang semakin meningkat. Rio Ferdinand menggesa agar keputusan dibuat segera di Manchester United bagi menghentikan ‘perang’ di dalam kelab.
United semakin goyah dan terus ditimpa malang di West Ham, semalam, dengan penyokong tuan rumah turut mengejek Red Devils yang tewas 1-3. United terus mencatat keputusan buruk dan pergolakan juga berlaku di dalam kelab itu. – AGENSI











