KUALA LUMPUR 2 Okt. – Mohd. Shahid Mispari muncul juara dalam pertandingan memancing Siri Jelajah Pancing Kali Ke-7 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Tasik Ampang Hilir, semalam.
Patin seberat 9.910 kilogram berjaya dinaikkan Mohd. Shahid sekali gus membolehkannya membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000 dan barangan Oishi Green Tea dan Igloo-UFL.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, penganjuran utama pertandingan adalah untuk membentuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum tidak kira usia dalam aktiviti sebegini.
“Pertandingan itu juga membolehkan warga kota membawa ahli keluarga beriadah di tasik-tasik awam di bawah DBKL,” katanya.
Siri Jelajah Pancing Kali Ke-8 akan diadakan di Tasik Metropolitan Batu, Kuala Lumpur pada 14 Oktober ini.
Mereka yang berminat boleh menghubungi urus setia di talian 013-3052811 atau layari Facebook JoranKL. –UTUSAN ONLINE











