Misteri penulis tanpa nama - Utusan Malaysia

Misteri penulis tanpa nama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bait di atas antara lirik daripada lagu Bukan Kerana Nama nyanyian dari Datuk Ramli Sarip, yang saya rasakan amat dekat dengan personaliti untuk ruangan Ini Kerjaku minggu ini, Iera Yusoff, 42, yang berpengalaman dalam dunia penerbitan lebih 20 tahun.

Berkali-kali wanita 10 orang anak itu menyatakan bahawa dia menulis bukan kerana wang apatah lagi kerana nama untuk dicanangkan kehebatan.

Sebaliknya, semua dilakukan demi mahu lebih banyak masa bersama keluarga serta berkongsi ilmu dengan masyarakat.

Dahulu, dia sekadar seorang penulis biasa, tetapi kini lebih popular dengan panggilan Iera ghostwriter atau Iera penulis upahan kerana kesanggupan menulis dan membukukan kisah individu lain tanpa sedikit pun pengiktirafan buat dirinya.

Bagi seorang penulis, tiada yang lebih membanggakan melihat sebuah buku yang ditulis tercatat nama sendiri kerana hasil kerja dan titik peluh dikenali dan dihargai. Berbeza bagi Iera, yang sejak bergelar penulis upahan, semuanya seperti misteri.

Dia tidak boleh sewenang-wenang hadir pada majlis pelancaran buku. Jika tidak, pasti ada yang menyangka buku yang dilancarkan itu ada kaitan dengan dirinya, sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan klien.

Kemunculan pada majlis-majlis pelancaran buku juga sering kali menimbulkan tanda tanya serta pandangan serong sesetengah jemputan, namun bagi Iera, dia hanya menjalankan amanah yang telah diberikan klien dalam menghasilkan sebuah kisah kehidupan.

“Saya perlu menjaga kepercayaan pelanggan selepas menulis kisah mereka. Semuanya sudah ada hitam putih, saya dan mereka tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar syarat yang telah ditetapkan. Menjadi penulis upahan, memegang kepercayaan klien adalah yang paling penting,” jelasnya.

Menyorot kembali bagaimana boleh terjebak dalam bidang berkenaan, sebaik sahaja tamat pengajian, dia yang mempunyai latar belakang dalam bidang seni bina dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak, pernah bekerja sebagai pelukis draf (draftwomen) untuk empat projek stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra dan pelukis 3D.

Namun, dia terus mencabar diri dengan bertukar kerjaya dari satu syarikat ke satu syarikat, semata-mata mahu belajar dan memahirkan diri dalam sesuatu bidang yang dirasakan perlu diterokai, iaitu bidang kreatif.

“Ketika saya mengandung anak pertama, saya tidak bekerja kerana alahan yang teruk. Selepas melahirkan anak, saya tidak dapat tawaran bekerja kerana ketika itu negara berdepan kegawatan.

“Bermula daripada itu, saya menulis kerana mempunyai kemahiran dan sangat meminati bidang penulisan sejak dari sekolah lagi.

“Kebetulan, ada kawan yang memaklumkan sebuah syarikat memerlukan penulis, dari situ yang mula serius dalam bidang berkenaan yang membawa saya bergelar pengarang di majalah Ole-ole, seterusnya ketua pengarang majalah Solehin, Umbut, Kembara dan Rawat.

“Dari situ juga, saya memasang angan-angan untuk membuka syarikat sendiri. Pada usia 24 tahun, saya menubuhkan Sonique Artscape dan bergelar pengarah urusan dan pengarang untuk majalah Cun, Xpresi!, Iras dan Era IT,” jelasnya memaklumkan selepas empat tahun berada dalam bidang itu, dia diuji dengan masalah kewangan.

Ketika berdepan dengan masalah kewangan, pelbagai kerja dicuba bagi mencari nafkah termasuk menjadi pegawai media di beberapa buah syarikat popular, namun dia merasakan masih tidak mempunyai masa buat keluarga.

Dia kemudian mula memperlahan karier sebegitu dan mengambil keputusan untuk bekerja di rumah sebagai penulis tanpa nama.

“Bermula dengan menulis copy writing di blog, Facebook, membuat kertas cadangan dan sebagainya. Saya juga akhirnya berjaya kembali menulis buku selepas tertangguh selama dua tahun kerana turut memberi fokus kepada bisnes telekomunikasi dan percetakan.

“Jangan terkejut jika saya katakan pada awal bisnes ini, saya pernah buat copy writing untuk 15 buah syarikat dalam satu masa berseorangan dan ‘pejabat’ saya di bilik tidur sahaja.

“Saya suka membina rangkaian dengan orang bisnes. Apabila saya kembali menulis buku, alhamdulillah tempahan datang daripada individu dan tokoh-tokoh popular negara.

“Asbab ini juga akhirnya bermula Jun tahun lalu, saya telah membuat bengkel khusus menjadi penulis upahan kepada mereka yang berminat,” jelasnya yang sangat meminati karya penulis Indonesia, Tere Liye.

Bukan menipu pembaca

Ditanya adakah kerjaya sebagai penulis upahan dilihat seperti menipu pembaca, Iera berkata, tidak timbul tanggapan seperti itu.

Ini kerana, penulis upahan melakukan tanggungjawabnya sama seperti penulis biasa, yang perlu mematuhi etika kerja, mengikut polisi klien, sumber yang jelas dan cara kerja berdedikasi. Bezanya hanya, mereka tidak bernama.

Hakikatnya, penulis upahan membantu tiga golongan dalam menghasilkan karya iaitu mereka yang ada idea tetapi tidak ada masa menulis, mereka yang pandai bercerita tetapi tidak pandai menulis dan mereka yang tidak boleh bercerita serta tidak boleh menulis.

“Saya bangga bergelar penulis upahan walaupun orang tidak tahu bahawa itu adalah hasil karya saya. Tidak penting siapa penulisnya, apa yang penting adalah ilmu yang disebar luas,” katanya.


………………………………………

Gambar: Mohd Noor Mat Amin

Tajaan lokasi: Kafe Buku Oakheart

Bayaran serendah dua angka sehinggalah lima angka, bergantung kepada jenis dokumen dan kesukarannya.

l Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan.

l Anak pertama daripada tujuh beradik.

l Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kewartawan), UiTM Shah Alam dan Sarjana Komunikasi Korporat, UPM Serdang.

l Ketika menubuhkan syarikat, Iera pernah menyewa mesin faksimili kedai sebelah syarikatnya.

l Pernah menghasilkan majalah sendiri dengan dia menjadi ilustrator, grafik, wartawan dan jurugambar.

l Pernah menghasilkan tiga buah novel dalam masa tiga hari untuk mendapatkan bayaran RM1,500 bagi membeli sebuah kamera.

l Mempunyai seramai 150 perantis yang dilatih sebagai penulis upahan.

l Penulis upahan mempunyai 27 skop kerja antaranya menulis skrip, lirik lagu, iklan, teks ucapan, resume, surat, e-book, buku biografi dan autobiografi.

Seorang penulis yang diupah untuk menulis bagi pihak orang lain

Menghasilkan karya berkaitan dengan perkhidmatan menulis tetapi nama tidak ditulis

Bertanggungjawab ke atas apa yang ditulis walaupun tidak mempunyai nama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN