SKUAD badminton perseorangan lelaki Malaysia mungkin perlu bersedia sekiranya jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei mengambil keputusan menggantung raket pada masa depan.
Karier Chong Wei berada dalam keadaan samar selepas bekas pemain No.1 dunia itu menghidap kanser hidung peringkat awal, sekali gus mungkin menyaksikan dia terpaksa mengundurkan diri daripada sukan tersebut.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Datuk Misbun Sidek bagaimanapun sudah memiliki perancangan tersendiri seandainya Chong Wei dinasihatkan untuk bersara gara-gara masalah kesihatan yang dialami.
Misbun berkata, beliau sudah ada program dan modul untuk pemain-pemain muda, namun mempersoalkan sama ada pemain-pemain sanggup berkorban untuk mengikuti program tersebut atau tidak.
“Sebenarnya, memang kita nak percepatkan peralihan kepada pemain muda kerana saya dapat lihat perkembangan pemain sejak beberapa tahun lalu. Apabila kembali ke BAM (Persatuan Badminton Malaysia), saya dapat lihat beberapa pemain yang boleh diketengahkan.
“Bagi menghasilkan pemain-pemain berkualiti, yang paling penting adalah program serta modul. Saya tidak ada masalah dari segi dan modul, cuma adakah pemain bersedia untuk ikuti program saya itu,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Misbun, antara pemain perseorangan lelaki yang memiliki potensi besar adalah perseorangan No.2 negara, Lee Zii Jia, juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao, Soong Joo Ven serta pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Tan Jia Wei.
Meskipun mengakui memiliki formula untuk melahirkan pemain setaraf Chong Wei, namun Misbun yang juga legenda badminton tanah air menegaskan, mereka semakin kesuntukan masa memandangkan negara-negara lain sudah berada jauh di hadapan dari segi pembangunan pemain muda.
“Sebenarnya kita sudah kesuntukan masa untuk mencapai sasaran dan tujuan kita. Chong Wei dahulu pun memerlukan tempoh sehingga lima tahun untuk dia mencapai potensi sebenar yang ada dalam dirinya.
“Sekarang saya baru kembali ke BAM selama setahun dan pemain-pemain muda masih berada pada peringkat pertengahan dan perlu bermain di tahap yang lebih tinggi. Bagaimanapun, harus diakui mereka masih belum mencapai standard berkenaan,” ujarnya.











