MENURUT laporan, 900 akaun UMNO dibekukan pada Jun lalu kerana siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), korupsi, salah guna kuasa, pecah amanah dan sebagainya. Rentetan itu jentera UMNO tidak dapat bergerak aktif seperti biasa untuk menganjurkan aktivitinya.
Ini termasuk di negeri ini. UMNO umumnya tidak mampu bangkit dan masih ‘sakit’ walaupun Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 baru-baru ini cuba memulihkan keyakinan, semangat dan moral ahlinya selepas hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pembekuan aset menyebabkan UMNO ‘terikat’ kakinya untuk bergerak. Faktor ini seakan pelik kerana UMNO mempunyai harta berbilion ringgit ditambah pula mempunyai lebih tiga juta ahli, sebenarnya ini merupakan ‘aset’ sebenar UMNO yang mampu dijanapolitikkan.
Kekangan kewangan bukan satu isu untuk UMNO kerana umum mengetahui pemimpin-pemimpin UMNO dari peringkat tertinggi, ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) hingga kepada ketua dan pemimpin di peringkat bahagian adalah golongan kaya-raya malah ramai bertaraf jutawan.
Mereka sepatutnya sanggup berkorban untuk parti dengan masing-masing menyumbang untuk kantung UMNO jika benar-benar cintakan parti dan betul-betul berjuang untuk agama, bangsa dan negara seperti yang sering dilaung-laungkan.
Inilah masanya membuktikan kesetiaan dan keikhlasan kepada parti, inilah masanya berbakti dan berkorban untuk parti dengan menghulurkan sumbangan. Jika orang Melayu terdahulu yang tiada harta dan miskin sanggup bergolok-gadai untuk perjuangan UMNO, mengapa pemimpin dan ahli-ahlinya yang kaya-raya sekarang tidak sanggup berbuat demikian?










