PROGRAM Peluang Kedua (2nd Chance) yang dianjurkan oleh Yayasan PT berjaya meraih Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Pertandingan Anugerah Projek Wofoo (3A) anjuran Asian Family Summit 2018, yang berlangsung di Universiti Hong Kong baru-baru ini.
Program tersebut diwujudkan bertujuan menyediakan perkhidmatan seperti sokongan psikososial, pendidikan dan kewangan kepada kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit HIV serta penjaga mereka.
Atas kejayaan tersebut, Yayasan PT, iaitu sebuah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan (NPO) bagi memberi sokongan kepada komuniti HIV/AIDS di negara ini, telah mengumumkan bahawa ia kini dalam proses merekrut sukarelawan baharu bagi menjayakan program seterusnya.
Pengurus Program, Supreet Kaur Maniktala berkata, Program Peluang Kedua penting kerana melalui program ini mereka dapat membantu membina keyakinan dan jati diri dalam kalangan kanak-kanak berisiko.
“Kanak-kanak ini biasanya datang daripada latar belakang sosioekonomi yang rendah dan persekitaran yang tertekan, yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.
“Melalui program bimbingan ini, kami berusaha meningkatkan dan memotivasikan mereka supaya memperoleh peluang kedua menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya pada bengkel melatih sukarelawan-sukarelawan baharu anjuran Yayasan PT baru baru ini.
Bengkel tersebut bertujuan mendedahkan sukarelawan tentang cabaran dalam mengendalikan kanak-kanak yang berisiko HIV.
Menurut Supreet, sehingga kini, Program Peluang Kedua telah dimanfaatkan oleh lebih 100 kanak-kanak berisiko, meskipun yayasan menganggarkan terdapat lebih daripada 5,000 orang yang dijangkiti atau berisiko dengan HIV di negara ini.
Katanya, hasil inovasi dan kemajuan dalam teknologi perubatan, kini pesakit HIV mampu hidup lebih lama, secara sihat dan normal tanpa risiko menjangkiti orang lain.
Namun, kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati kadar pengambilan ubat-ubatan secara konsisten telah menurun dalam kalangan remaja yang menghidap HIV berbanding dengan dewasa.
“Justeru pada bengkel ini peserta telah turut diberi gambaran situasi sebenar, di samping memperkenal mereka tentang skim mentoring yang diimplementasikan dalam Program Peluang Kedua ini.
“Melalui skim ini, sukarelawan telah ditugaskan bagi membantu kanak-kanak yang berisiko meningkatkan pencapaian akademik dan tahap psikososial mereka,” katanya.
Sementara itu, Kaunselor bagi Program Peluang Kedua, Siti Nazwa Abdul Haris berkata, sebahagian daripada kanak-kanak ini datang daripada keluarga yang sangat miskin.
Katanya, mereka telah melalui pelbagai insiden tragis seperti kematian ahli keluarga, keganasan rumah tangga atau masalah kesihatan mental. Perkara ini memberi kesan kepada mereka.
“Mereka mengalami tekanan emosi dan menunjukkan prestasi yang sangat membimbangkan di sekolah. Oleh itu, kami memberikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling secara berterusan.
“Hasilnya dapat dilihat apabila mereka menunjukkan perubahan peningkatan secara berperingkat-peringkat. Malah, ramai antara mereka kelihatan lebih ceria dan berminat menghadirkan diri ke sekolah.
“Terdapat juga kanak-kanak menunjukkan peningkatan prestasi yang cemerlang dalam pelajaran di sekolah dengan mendapat keputusan peperiksaan sebagai tiga orang pelajar yang terbaik di dalam kelasnya berbanding keputusan yang corot sebelum ini,” tambahnya.
Selain, penceramah dari Yayasan PT, bengkel tersebut turut menampilkan pensyarah dari Universiti Taylors, Prof. Madya. Dr. Anasuya Jegathevi Jegathesan, yang juga penasihat kepada Program Peluang Kedua.










