MBM digesa tarik lebih banyak anak muda, wanita - Utusan Malaysia

MBM digesa tarik lebih banyak anak muda, wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 5 Okt. – Majlis Belia Malaysia (MBM) digesa supaya meningkatkan jumlah penyertaan belia yang berumur di bawah 30 tahun dan golongan wanita dalam pertubuhan belia tersebut bagi menyediakan pemimpin berkualiti untuk negara pada masa hadapan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jumlah penyertaan kedua-dua golongan tersebut dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia pada masa sekarang agak rendah dan perlu usaha yang berterusan untuk meningkatkan jumlah mereka.

“Saya berharap MBM membawa lebih banyak anak muda berumur 30 tahun ke bawah ke dalam NGO dan biarkan mereka menggerakkan NGO sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk golongan wanita pula, komposisi mereka di Malaysia sama dengan lelaki tetapi jumlah perwakilan wanita dalam pertubuhan ini tidak mencukupi. Kita berharap di masa hadapan akan ada seorang wanita menjadi Presiden MBM dan lebih banyak menteri dan exco dipilih dalam kalangan wanita,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-67 MBM di sini malam ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau bersedia untuk mengetengahkan cadangan MBM untuk melantik sekurang-kurangnya seorang pemimpin pertubuhan belia itu sebagai senator di Dewan Negara kepada kepimpinan negara.

Beliau berkata, pelantikan tersebut bukan sahaja diharap dapat mengangkat suara anak muda ke tahap lebih tinggi tetapi juga dapat menyediakan platform untuk anak muda sebagai pemimpin negara di masa hadapan.

“Secara peribadi saya menyokong cadangan ini tetapi saya berharap MBM juga berdiri di belakang saya untuk menyatakan sokongan terhadap cadangan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini