DUNGUN 1 Okt. – Seorang bapa maut manakala isteri dan bayinya cedera dalam nahas di kilometer 343. 3,Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Paka, di sini awal pagi tadi.
Kereta yang dipandu Muhammad Aniq Hakim Rozmi, 23, terbabas lalu merempuh pembahagi jalan, dan dia yang tersepit dalam kenderaan yang remuk dan mengalami kecederaan parah di kepala, meninggal di tempat kejadian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, isterinya, Nur Fatinie Rokhman, 24, dan bayi mereka, Muhammad Adam Rizqi yang berusia 18 bulan terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharuddin Abdullah ketika mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut memberitahu, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kuantan.
Tambah Baharuddin, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada pukul 6.10 pagi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat manakala isteri dan bayi mangsa dirawat di unit kecemasan hospital yang sama, dan keadaan mereka dilaporkan stabil,”ujarnya.
Menurut Baharuddin, kes akan disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-UTUSAN ONLINE











