ALOR SETAR 13 Okt. – Rutin mingguan seorang jurugegas bermain luncur udara sejak empat tahun lalu bertukar tragedi apabila enjin paramotor miliknya mengalami kerosakan selepas lima minit meluncur dari Dataran Dato Ali Yahaya di Kota Kuala Muda, Sungai Petani, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Muhammad Khairun Naim Abdullah, 30, terjatuh ke dalam Sungai Muda sebelum ditemukan maut oleh orang ramai selepas hanyut kira-kira satu kilometer.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati mangsa baharu lima minit meluncur di udara sebelum terjatuh ke dalam sungai berhampiran selepas enjin paramotor yang digunakan mengalami masalah.
“Orang ramai yang ternampak kejadian tersebut cuba membantu, namun hanya menjumpai mangsa kira-kira satu kilometer dari tempatnya jatuh selepas dia dibawa arus sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Adzli, mangsa yang merupakan ahli persatuan paragliding berdaftar telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk terbang.
“Enjin paragliding mangsa akan dihantar ke agensi berkaitan untuk mengetahui punca masalah.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.
Sementara itu, isteri mangsa, Asiah Yahya, 32, memberitahu, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, namun sempat membelikan sarapan untuknya dan dua anak mereka sebelum keluar ke dataran tersebut.
“Sejak empat tahun lalu, suami saya selalu bermain paramotor pada hujung minggu bersama rakannya.
“Bagaimanapun pagi tadi, saya difahamkan arwah meluncur bersendirian, tidak seperti kebiasaannya akan ditemani rakannya yang mempunyai hobi sama.
“Saya tidak sangka, hobi suami saya ini akhirnya meragut nyawanya sendiri. Sedangkan sebelum ini, ibu mentua saya pernah meminta suami menjual payung terjunnya tapi arwah menolak kerana sukan lasak itu sudah sebati dengan jiwanya,” katanya.











