Maut diseret lori tangki - Utusan Malaysia

Maut diseret lori tangki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 10 Ogos – Seorang warga emas maut dalam keadaan mengerikan selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebelum diseret oleh sebuah lori tangki di persimpangan lampu isyarat kawasan perindustrian Jakar, di sini, pagi tadi.

MAMAT JUMAAT
MAMAT JUMAAT 

Dalam kejadian kira – kira pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Mamat Jumaat, 78, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika mengesahkan menerima laporan memberitahu, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Chendor, Kuantan menuju ke Bandar Cukai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika kejadian, keadaan jalan di lokasi kejadian licin akibat hujan yang turun dan keadaan trafik sibuk dengan orang ramai yang hendak ke tempat kerja,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohd Said, motosikal mangsa dikatakan secara tiba – tiba memasuki laluan kanan jalan menyebabkan pemandu lori yang membawa muatan bahan kimia tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang motosikal mangsa.

“Mangsa terjatuh dan diseret sejauh beberapa meter menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan,”katanya.

Menurut Mohd Said, sepasukan 10 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cukai bersama dua buah jentera telah berkejar ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah tayar lori tersebut.

“Disebabkan keadaan mayat yang hancur akibat diseret menyebabkan pasukan bomba mengambil masa kira – kira 10 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit di celah tayar,” katanya.

Tambah Mohd Said, kes akan disiasat dibawah seksyen 41 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini