KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyalurkan bantuan kewangan RM500,000 kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata demikian selepas perbualan telefon dengan Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla mengenai tragedi yang melanda Palu di kepulauan Sulawesi.
Katanya, selain bantuan kewangan, kerajaan juga akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke kawasan yang dilanda bencana itu bagi membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat
“Kita akan menghantar pasukan SMART bagi kerja SAR kerana kita mengejar masa bagi memastikan sebanyak mungkin mangsa dapat diselamatkan.
“Malah, sudah ada beberapa pertubuhan bantuan antarabangsa seperti Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan Mercy Malaysia di Sulawesi sekarang.
“Buat masa ini, dari segi logistik, satu-satunya lokasi di mana pesawat boleh mendarat ialah di Makassar yang kini sudah sesak dan Malaysia hanya akan menghantar bantuan selepas mendapat kebenaran untuk mendarat di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasarudin Tan Sri SM Nasimuddin.
Setakat ini, ratusan orang dilaporkan maut akibat tragedi gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami di Palu Jumaat lalu. – K! ONLINE











