Malaysia akhiri tempat ketiga - Utusan Malaysia

Malaysia akhiri tempat ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN berjaya meraih tempat ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018, namun Ketua Jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans tidak berpuas hati dengan prestasi dipamerkan sepanjang kejohanan di Muscat, Oman yang berakhir awal pagi ­semalam.

Oltmans, 64, menyifatkan ia bukan persembahan terbaik Malaysian Tigers dalam kejohanan tersebut walaupun pada masa sama terdapat beberapa elemen positif yang dapat ditunjukkan anak-anak buahnya.

“Saya gembira kerana berjaya menamatkan kejohanan di tempat ketiga tetapi sejujurnya ini bukanlah aksi terbaik daripada Malaysia. Prestasi kami tidak konsisten sepanjang kejohanan ini.

“Pemain akan diberikan rehat dahulu sebelum memulakan program fizikal hujung minggu ini dan kembali menjalani latihan seperti biasa bermula 5 November ini,” katanya.

Malaysian Tigers meraih tempat ketiga setelah menewaskan Jepun 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam tempoh 60 minit permai­nan di Kompleks Sukan Sultan ­Qaboos kelmarin.

Penyerang prolifik skuad negara, Faizal Saari berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1 dua minit selepas Jepun memperoleh gol pertama menerusi Kenji Kitazato pada minit ke-18.

Faizal terus membuktikan ketajamannya apabila sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 buat Malaysian Tigers, kali ini tiga minit selepas juara Sukan Asia 2018 itu menjaringkan gol kedua melalui Hirotaka Wakuri pada minit ke-48.

Tiga penjaring skuad negara dalam penentuan pukulan penalti ialah Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Norsyafiq Sumantri dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil, manakala penjaga gol, Mohammad Hairi Abd. Rahman berjaya menyelamatkan tiga percubaan Jepun.

Sebagai rekod, Malaysian Tigers sudah lima kali berturut-turut bergelar pemenang tempat ketiga bermula edisi pertama di Ordos, China pada 2011, Doha, Qatar (2012), Kakamigahara, Jepun (2013), Kuantan, Pahang (2016) dan Muscat, Oman (2018).

Skuad negara akan berdepan ujian sebenar yang merupakan kejohanan antarabangsa terakhir untuk tahun ini iaitu Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dari 28 November hingga 16 Disember depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN