SHAH ALAM – Majlis Agama islam Selangor (MAIS) menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan ke atas sebarang aduan kesalahan jenayah syariah termasuk khalwat, seperti yang dilakukan sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, ini berikutan pelaksanaan undang-undang syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri yang telah diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Negeri.
“Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan ke atas kesalahan jenayah syariah termasuk khalwat.
“Namun, MAIS akan sentiasa memantau dan memastikan tindakan itu bertepatan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan serta undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, Mohammed Khusrin turut mengingatkan umat Islam di Selangor supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah syariah yang termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“Semua pihak juga digesa untuk memberikan maklumat berkaitan apa-apa perbuatan jenayah syariah yang berlaku untuk tindakan penguatkuasaan ke hotline JAIS di talian 1-800-88-2424,” ujarnya. – K! ONLINE









