PUTRAJAYA – Baki tiga hakim daripada panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini akan membuat keputusan berhubung sama ada anak orang Islam yang dilahirkan di luar nikah boleh “dibin atau dibinti” menggunakan nama bapa anak itu, bukannya nama “Abdullah”.
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang mempengerusikan panel tujuh hakim memutuskan untuk tidak mendengar semula rayuan itu hari ini berikutan terdapat baki hakim yang mencukupi untuk membuat keputusan berhubung rayuan itu.
“Kami masih ada korum tiga hakim. Biar perkara ini diserahkan kepada baki anggota panel untuk membuat penghakiman. Kami tidak akan mendengar semula perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, tiga hakim daripada panel sebelumnya, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Sri Balia Yusof Wahi yang telah mendengar rayuan itu akan menyampaikan penghakiman mengikut Seksyen 78 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Seksyen 78 menetapkan penghakiman boleh dibuat jika sekiranya masih ada sekurang-kurangnya tiga hakim.
Dua lagi hakim dalam panel sebelum ini ialah bekas Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah yang telah bersara.
Raus mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mendengar rayuan itu pada 7 Februari tahun ini dan menangguhkan keputusan mahkamah.
Malanjum berkata, semasa pengurusan kes itu pada 27 Julai tahun ini, mereka sangka Balia akan bersara, meninggalkan hanya dua hakim daripada panel asal untuk membuat keputusan.
Difahamkan khidmat Balia dilanjutkan selama enam bulan lagi sehingga Mac tahun depan.
Semua pihak dalam kes itu tidak membantah bagi tiga hakim membuat keputusan terhadap rayuan itu. – Bernama










