SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan sebanyak RM11.8 juta kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di 18 buah hospital dan institut perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Penyerahan sumbangan itu disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) di sini.
Turut hadir isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhammad, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Timbalan Ketua Perubatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar.
Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, sumbangan kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia sejak 2008 bertujuan meringankan beban pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.
“Bantuan ini diberikan kepada pesakit yang merupakan rakyat Selangor atau bermastautin di negeri ini yang tidak berkemampuan untuk mendapat rawatan di hospital-hospital di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya ketika berucap pada majlis serahan berkenaan.
Dalam pada itu, hospital dan institusi perubatan yang menerima bantuan zakat ialah Yayasan Institut Jantung Negara yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM1.4juta, Hospital Kuala Lumpur (RM1.3 juta) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (RM750,000).
Sementara itu, Institut Kanser Negara, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kanser Negara masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM1juta.
Selain itu, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Serdang masing-masing menerima sebanyak RM600,000 sementara Hospital Kajang (RM430,000), Hospital Putrajaya dan Hospital Rehabilitasi Cheras masing-masing menerima RM380,000.
Manakala Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh menerima sebanyak RM28,000, Hospital Shah Alam (RM200,000), Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Bharu masing-masing menerima RM85,000. – K! ONLINE









