BUKIT MERTAJAM 30 Sept. – Bunyi siren panjang menggemparkan kakitangan, pelawat dan pesakit di Hospital Pakar KPJ di sini pagi semalam.
Keadaan menjadi agak kelam-kabut apabila mereka diarahkan keluar dari hospital itu dan berkumpul di kawasan letak kereta bersebelahan sambil pasukan tindakan kecemasan (ERT) hospital itu mula menjalankan kerja-kerja menyelamat.
Seketika kemudian, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda tiba untuk membantu dan kejadian dipercayai berpunca daripada ‘letupan’ gas memasak yang turut melibatkan lima mangsa.
Pasukan ERT berjaya memadamkan kebakaran serta membawa keluar kesemua mangsa dengan dua daripadanya mengalami cedera parah akibat melecur dijilat api.
Kesemua mangsa juga dibawa ke tempat selamat sebelum operasi merawat oleh jururawat dan doktor yang bertugas di Unit Kecemasan hospital itu.
Apabila keadaan selamat, kesemua pelawat dan pesakit kemudiannya dibenarkan masuk semula ke hospital untuk menyambung urusan mereka.
Seketika kemudian barulah mereka menyedari yang kejadian itu bukanlah kemalangan sebenar tetapi sebahagian daripada latihan pengurusan bencana yang dijalankan oleh pihak hospital.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Zabidi Abdul Razak berkata, pihaknya berpuas hati dengan latihan itu yang dilakukan setiap tahun.
“Tujuan utama latihan ini adalah bagi memberi kemahiran kepada ERT agar mereka dapat bertindak pantas sekiranya berlaku kebakaran atau bencana di hospital ini.
“Kita juga menjalankan beberapa latihan lain bagi meningkatkan kecekapan ERT serta kakitangan hospital untuk membantu pesakit dalam keadaan kecemasan seperti ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, beliau berpuas hati dengan maklum balas serta tindakan pantas yang dibuat oleh ERT serta pesakit dan pelawat bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sekiranya kebakaran sebenar berlaku.










