SEREMBAN – Seorang tukang rumah yang bakal berkahwin hujung bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki wang palsu RM500, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Arif Zefri, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim G.Ramesh.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa memiliki 25 keping wang RM20 bernombor siri CP8096167 dengan mengetahuinya palsu dan dengan niat menggunakannya sebagai sesuatu yang asli.
Kesalahan itu dilakukan di Kampung Tiong di Gemas pada pukul 8.10 malam, 23 September lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan wang jaminan bagi pertuduhan itu namun, memohon wang jaminan tinggi jika mahkamah membenarkan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela kemudian dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan itu selepas mengemukakan rayuan.
Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Air Kuning di Gemencheh dekat Gemas pada setiap Ahad minggu ketiga setiap bulan.
Ramesh kemudian menetapkan 1 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mohamad Arif yang ditemani anggota keluarganya gagal menjelaskan bayaran ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah menyebabkan tertuduh dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka. – K! ONLINE











