KOTA KINABALU – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap di atas batu di bawah jambatan bangunan Yayasan Sabah di sini hari ini.
Mangsa berusia lingkungan 40-an ditemui kira-kira pukul 10 pagi ketika saksi yang merupakan kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sedang melakukan pembersihan di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek ditemui dengan kesan calar pada tangan kanan dan kecederaan pada bahagian muka.
“Pemeriksaan di tubuh mangsa tidak menemui sebarang objek sehingga menjurus kepada kematian mangsa.
“Polis tidak menolak kemungkinan suspek terjatuh dari Jambatan Yayasan Sabah, Likas sebelum ditemui dalam keadaan tertiarap di bawah jambatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Habibi, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen (HQE) di sini untuk proses bedah siasat.
Katanya lagi, usaha mengesan waris mangsa sedang dilakukan.
“Punca kematian masih dalam siasatan,” jelasnya. – K! ONLINE











