Legenda 60-an bakal gegar Istana Budaya - Utusan Malaysia

Legenda 60-an bakal gegar Istana Budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seiring dengan permintaan yang tinggi terhadap persembahan lagu-lagu daripada zaman 60-an, pihak Istana Budaya akan menganjurkan Konsert Legenda 60-an bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) pada 26 dan 27 Oktober depan.

Bakal dipersembahkan di pentas berprestij Panggung Sari, konsert tersebut menampilkan barisan penyanyi legenda 60-an seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk L. Ramli, A. Rahman Onn, Maria Bachok, J. Sham, S. Maria dan A. Rozaini.

Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, idea mengadakan persembahan timbul memandangkan peminat setia Istana Budaya sering melontarkan pertanyaan berkenaan konsert khas bagi meraikan kegemilangan muzik 60-an.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di Istana Budaya, kami mengadakan pementasan atau persembahan mengikut permintaan pengunjung dan ternyata muzik 60-an memiliki kumpulan pengikut yang kuat serta tersendiri.

“Sejujurnya, pihak kami ingin memanggil lebih ramai penyanyi 60-an. Namun ia terbatas kepada tahap kesihatan artis-artis berkenaan. Sebanyak lapan orang yang terpilih untuk konsert kali ini ialah mereka yang masih mampu membuat persembahan,” katanya pada sidang akhbar konsert tersebut di Selasar Pualam, Istana Budaya, baru-baru ini.

Sesuai

Tambah Juhari, penganjuran konsert tersebut juga boleh dianggap salah satu alternatif bagi menarik minat generasi mudah agar lebih menghargai muzik pada era berkenaan dan tidak melupakannya dalam arus perkembangan moden.

Sementara itu, bagi Jeffrydin yang bakal mendendangkan lima buah lagu bagi dua malam persembahan berlangsung memberitahu, dia berasa teruja untuk kembali berkongsi pentas dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain.

Pelantun lagu Siti Haidar itu kini sedang sibuk membuat persiapan bagi konsert tersebut termasuk berkenaan pemilihan pakaian yang akan digayakan agar bersesuaian dengan fesyen terkini.

“Saya seorang yang mementingkan penampilan agar selari dengan fesyen semasa dan dalam masa sama tidak menghilangkan identiti 60-an itu sendiri.

“Berkenaan pemilihan lagu, saya hanya menurut permintaan Istana Budaya yang telah menyediakan senarai kerana tahu ia juga merupakan kehendak peminat,”jelasnya lagi.

Penonton akan disajikan dengan 42 buah lagu termasuk beberapa lagu popular antarabangsa seperti She Loves You (The Beatles), Dekho Abto (Janwar) dan lagu popular setiap penyanyi selama dua jam persembahan.

Tambah menarik, peminat yang hadir pada malam persembahan dengan pakaian mengikut tema 60-an akan menerima hadiah istimewa daripada pihak Istana Budaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini