PULAU PINANG 8 Okt. – Pertubuhan Usahawan Industri Desa (PUID) negeri akan menjalankan kajian dalam kalangan penduduk berhubung pelaksanaan projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang dan projek lebuh raya (PIL 1) yang dirancang di negeri ini.

Setiausaha Agungnya, John Ooh Sin Hwa berkata, hasil kajian itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk dijadikan sebagai salah satu kriteria dalam pertimbangan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, menurutnya, pihaknya beranggapan projek itu merupakan usaha murni kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat sekali gus menjadikan negeri ini lebih selesa dan selamat.
Katanya, projek pengangkutan itu dirancang dengan teliti, mengambil kira banyak aspek dan keperluan setiap masyarakat.
“Walaupun terdapat beberapa pihak menyuarakan bantahan, menyatakan keburukan dan kesan negatif pelan tersebut, tetapi kita mendapati manfaat serta kebaikan yang bakal dicapai melalui PTMP dan PIL1 melebihi keburukan.
“Pada masa sama, banyak kesan negatif dan keburukan yang dibangkitkan pihak tidak berpuas hati sebenarnya boleh diatasi dan dikawal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
John berkata, masalah pengangkutan di negeri ini bukan sahaja satu kesulitan harian yang dialami pengguna jalan raya tetapi memberi impak negatif kepada pembangunan setempat dan membantut perkembangan ekonomi negeri.
Pada masa sama, katanya, pengguna jalan raya bukan sahaja memerlukan lebuh raya selesa dan boleh menjimatkan masa perjalanan, tetapi satu sistem jalan raya baharu yang dirancang dengan teliti yang mampu meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kemalangan.










