Larangan merokok: Menteri tidak rujuk Parlimen - Utusan Malaysia

Larangan merokok: Menteri tidak rujuk Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Tiada sebarang perbincangan diadakan dengan Parlimen sebelum keputusan larangan merokok di bangunan itu dikuatkuasakan.

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang mengakui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad tidak berbincang dengan beliau terlebih dahulu mengenai keputusan itu.

Beliau memberitahu, ada dalam kalangan ahli Parlimen yang datang bertemu dengannya menzahirkan rasa kurang senang dan ada yang membantah keputusan tersebut.

“Saya telah jumpa penguat kuasa dan meminta mereka memaklumkan kepada ketua penguat kuasa untuk datang berhubung dengan saya bagi menyelesaikan isu ini.

“Saya akan berbincang dengan menteri dan penguat kuasa. Setakat ini belum jumpa (menteri). Perbincangan akan dilakukan dan keputusan tertakluk kepada perbincangan,” kata beliau ketika ditemui di Parlimen di sini, hari ini.

Kenyataan Mohamad Ariff itu sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana keputusan larangan merokok itu boleh dibuat tanpa perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebagai individu bertanggungjawab di Parlimen.

Ada pihak percaya perkara itu sewajarnya dibentangkan di dalam Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Rentetan perkara ini, difahamkan, Parlimen bercadang mewujudkan satu kawasan khas baharu untuk merokok.

Sebelum ini, Parlimen telah menyediakan sudut merokok kepada para perokok, termasuklah kawasan khas merokok di tempat makan.

Keputusan kerajaan mengisytihar bangunan Parlimen sebagai kawasan bebas merokok diumumkan oleh Dzulkefly di Putrajaya kelmarin.

Rentetan pengumuman itu, wujud rasa kurang senang dalam kalangan ahli Parlimen mengenai keputusna tersebut, malah dilaporkan ada wakil rakyat tang telah dikompaun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN