SHAH ALAM 17 Okt. – Laporan lengkap ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap penemuan mayat di kunci air Bukit Naga, Seksyen 32 di sini dipercayai pelajar institusi pengajian tinggi swasta, Amir Hamzah Mohd. Rozali akan diketahui selewat-lewatnya minggu ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, spesimen DNA mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Kimia dan pihaknya sedang menunggu keputusan laporan tersebut.
Menurut beliau, setakat ini, pengecaman dan pengesahan cap jari tidak boleh dilakukan berikutan mayat sudah mengalami proses pereputan serta jari mangsa sudah menggelupas.
“Walaupun semalam beberapa ahli keluarga mangsa cuba membuat pengecaman, namun tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan fizikal mayat sudah mereput.
“Pengecaman melalui pakaian tidak boleh dilakukan kerana mungkin terdapat individu lain yang memiliki pakaian yang sama dengan mangsa. Oleh demikian, kita perlu menunggu keputusan laporan DNA yang dijangka diperoleh dalam tiga atau empat hari lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, abang Amir Hamzah, Mohamed Khairul Anwar yakin bahawa mayat yang ditemukan di kunci air itu adalah adiknya berdasarkan kesan parut di bahagian betis kiri dan perut.
“Parut di betis adik saya disebabkan kesan ekzos motosikal manakala di bahagian perut pula disebabkan minyak masak. Kedua-dua parut ini diperoleh ketika zaman kanak-kanak dan remaja,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE










