KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan lapan lelaki yang mempunyai kaitan dengan sebuah pusat pembelajaran di Perlis pada bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas.
Dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM di Perlis, Kuala Lumpur dan Johor itu, seramai tujuh warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua suspek yang ditahan mempunyai hubungan dengan sebuah pusat pengajian Islam di Perlis sama ada sebagai pelajar, bekas tenaga pengajar juga bekas pelajar.
“Penahanan dibuat selepas menerima maklumat risikan mengenai adanya kumpulan pengganas berpangkalan di Yemen yang merancang mewujudkan pusat pembelajaran di Asia Tenggara bagi mempromosi kegiatan ekstremis Salafi Jihadi.
“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai hubungan dengan madrasah di Dammaj, Yemen yang dipelopori Sheikh Muqbil Al Wadi, salah seorang cendekiawan Salafi Jihadi.
“Madrasah itu mengikut pembelajaran Salafi Jihadi yang membenarkan pembunuhan umat Islam dan bukan Islam yang enggan mengikut cara mereka,” kata Fuzi dalam satu kenyataan semalam.











