PERMAINAN kutu amat sinonim bagi masyarakat Malaysia khususnya kaum hawa sejak dulu lagi. Kini, aktiviti ini bukan sahaja dimonopoli oleh wanita, malah orang lelaki turut terbabit. Permainan ini boleh dikatakan sebagai satu skim menabung berkumpulan.
Secara lazimnya, aktiviti ini disertai sekurang-kurangnya lima hingga 12 orang. Malah, di era yang serba moden ini, pemain bukan sahaja mendapat wang yang dikumpul malah ia diganti kepada barangan mahal dan berjenama seperti emas, beg tangan, seterika, bekas penyimpan makanan yang mana ia sebagai daya tarikan untuk bermain permainan ini.
Kaedah permainan ini sangat mudah yang mana pemain perlu mencabut undi giliran untuk mendapat wang yang akan dibayar oleh setiap pemain di dalam satu kumpulan. `Ibu kutu’ yang dilantik akan bertindak sebagai bendahari untuk mengutip sejumlah wang setiap pemain untuk disimpan dan diagihkan mengikut giliran pemain. Permainan ini akan tamat sehingga pemain giliran terakhir mendapat wang pada bulan terakhir.
Sesuatu perkara pastinya ada baik dan buruknya. Antara kebaikan main kutu ia dikira sebagai pinjaman pendahuluan tanpa faedah. Ia dikatakan sebagai satu skim selamat tanpa perlu meminjam daripada pihak lain. Selain itu, wang ini boleh dijadikan sebagai persiapan atau simpanan sementara untuk membeli barang yang mahal dan sukar dimiliki.
Akan tetapi, permainan ini juga boleh mendatang kesan buruknya. Seringkali terpapar di akhbar mengenai penipuan di dalam permainan ini seperti Skim Kutu Online. Sudah ramai pemain kutu secara online tertipu dengan modal yang sedikit dijamin dengan pulangan berganda.
Baru-baru ini telah diviralkan satu ceramah daripada seorang ustaz yang terkenal di media sosial mengenai hukum bermain kutu ini. Menurut Ustaz Azhar Idrus, setiap permainan kutu sebenarnya perlu ada lafaz iaitu akad oleh si pemberi wang. Jelasnya, permainan kutu duit ini adalah satu bentuk hutang. Cuma caranya diundi siapa yang akan berhutang dulu.
Sebagai contoh, sekiranya kita penerima duit kutu pada bulan itu, kita perlu katakan: “Saya berhutang kepada awak semua”. sekiranya kita bayar bulan-bulan untuk kutu orang lain kita perlu katakan “Saya bayar hutang awak” dan sekiranya kita adalah orang terakhir yang dalam pusingan kutu, kita perlu berkata: “Saya terima hutang awak semua kepada saya”. Hukum bermain kutu ini adalah harus sekiranya semua pemain melafazkan akad dan tiada unsur riba dan ia haram jika tidak dilafazkan dengan akad.
Dari segi peruntukan undang-undang di Malaysia, kutu ini telah diwartakan sebagai Akta 28 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971. Akta ini di bawah Seksyen 3 menyebut bahawa ia salah di sisi undang-undang bagi sesiapa menjalankan perniagaan menganjurkan wang kutu dan seseorang yang menjalankan perniagaan itu adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Namun, permainan kutu masih dimainkan oleh sebilangan kecil masyarakat walaupun wujud akta berkaitan dengan alasan risikonya kurang kerana caruman yang kecil dengan jumlah peserta yang sedikit dan pastinya ia sebagai wang segera kepada si pemain.
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.











