Kumpulan wanita bakal cipta rekod Malaysia rentasi Kutub Selatan - Utusan Malaysia

Kumpulan wanita bakal cipta rekod Malaysia rentasi Kutub Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Lima peserta yang terpilih dalam cabaran ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) 2018 bakal mencipta rekod Malaysia menjadi kumpulan wanita pertama negara ini menawan Kutub Selatan, Disember tahun depan.

Ekspeditor negara, Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir berkata, kelima-lima mereka akan merentasi Kutub Selatan sejauh 550 kilometer dalam masa 30 hari menggunakan ski. 

Katanya, sepanjang ekspedisi tersebut kumpulan wanita berkenaan akan berdepan suhu serendah -68 darjah Celcius. 

“Ekspedisi ke Kutub Selatan juga bertujuan mengambil kapsul lama yang telah ditanam oleh saya pada 2004 yang mempunyai amanat daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

“Pada masa sama, kumpulan wanita ini juga akan menanam kapsul baharu yang kita sedang rancang bagi mendapatkan amanat Perdana Menteri kini, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya pada sidang akhbar larian amal Antartika X-Fit Burden di sini hari ini. 

Menurut beliau, lima peserta terakhir dalam cabaran Aweta akan diketahui pada Januari tahun depan sebelum mereka meneruskan latihan intensif di luar negara dari Februari dan Oktober tahun depan di Norway dan New Zealand. 

Mengulas mengenai larian amal itu, Sharifah Mazlina menyasarkan 3,000 peserta dengan terbahagi dua kategori iaitu lima dan 10 kilometer (km) yang akan diadakan pada 2 Disember depan.

Ujarnya, larian akan bermula dan berakhir di kompleks beli-belah Citta Mall, Ara Damansara, Petaling Jaya di sini. 

“Bagi kategori 10 km, para peserta lelaki dikehendaki membawa beban seberat 10 kilogram (kg) manakala peserta wanita akan membawa beban seberat tujuh kg pada pertengahan larian. 

“Bagi lima km, peserta bebas membawa apa-apa beban termasuk kanak-kanak dibawah 12 tahun dibenarkan membawa beban berupa batal busuk,” katanya. 

Sehubungan itu, orang ramai boleh melayari www.racexasia.com/event/artarctica-xfit-burden-run-2018/ dan www.howei.com/event/artarctica-xfit-burden-run-2018/  untuk maklumat lanjut dengan tarikh tutup pendaftaran pada 15 November depan.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN