Kubur Nazrin digali semula - Utusan Malaysia

Kubur Nazrin digali semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Jenazah bekas Ketua Pe­gawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Allahyar­ham Nazrin Hassan akan dikebumikan semula selepas selesai bedah siasat dijalankan oleh doktor forensik di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Bagaimanapun Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Se­nior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya tidak dapat menentukan bilakah pe­ngebumian itu akan dilakukan.

“Ada banyak kes sebegini sebelum ini dan tempoh masa diambil juga bergantung kepada doktor yang melakukan bedah siasat,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Fadzil, proses penggalian semula kubur Allahyarham Nazrin di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, dekat sini mengambil masa tiga jam 45 minit yang bermula pukul 10 pagi.

Di Putrajaya, Samirah Muzaffar, isteri kepada Nazrin gagal dalam usaha terakhirnya menangguhkan proses penggalian semula itu.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Samirah, 43, bagi mendapat kebenaran me­rayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan kubur Allahyarham digali semula.

Permohonan untuk menggali semula kubur Nazrin dibuat oleh polis atas permintaan abang kandungnya, Dr. Malek Hassan bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Rhodzariah Bujang berpuas hati bahawa permohonan Samirah bagi mendapat kebenaran merayu, tiada merit.

Panel tersebut bagaimanapun membenarkan supaya pakar patologi bebas yang dilantik oleh Samirah hadir sama ketika bedah siasat dijalankan, asalkan tidak mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, peguam M. Pura­valen yang mewakili Samirah antara lain berhujah agar pegawai penyiasat mematuhi terma-terma ditentukan semasa bedah siasat dijalankan.

Sementara itu, Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dan Mohd. Zain Ibrahim membantah permohonan kebenaran merayu.

Pada 14 Jun lepas, Nazrin ditemukan meninggal dunia dipercayai kerana terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, dekat sini.

Kematiannya kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini