TANJUNG MALIM 18 Okt. – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melakukan siasatan terperinci kes pelanggaran tren KTM Komuter dengan tren Kargo di Stesen Tanjung Malim hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin berkata, siasatan menjurus sama ada kemalangan pada pukul 6.02 pagi itu disebabkan masalah teknikal atau kesilapan kakitangannya KTMB sendiri.
“Punca kejadian masih disiasat dan ia akan mulakan secepat mungkin dan selesaikan secepat yang mungkin,” katanya di sini.
Menurutnya, tindakan utama ketika ini ialah dari aspek penumpang yang cedera iaitu seramai lima orang.
Beliau berkata, mereka yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Katanya, penumpang selebihnya menggunakan tren lain dan telah meneruskan perjalanan ke KL Sentral.
“Keutamaan kita sekarang ialah untuk membuka semula landasan kepada dua laluan kerana buat masa ini satu laluan ditutup.
“Kami sedang bekerja bertungkus lumus untuk ‘membebaskan’ landasan bagi laluan untuk perjalanan ke utara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










