Kreatif sampai ilmu pelaburan - Utusan Malaysia

Kreatif sampai ilmu pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Murid sekolah rendah yang menyertai Pertandingan Persembahan Seni Kreatif (PPSK) anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menampilkan persembahan yang matang, yakin dan berinformasi mengenai ilmu pelaburan dan perancangan kewangan kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, keyakinan dan keluasan ilmu yang diketengahkan oleh murid-murid dalam pertandingan itu membuktikan generasi muda mampu menguasai ilmu pelaburan dan kewangan setanding golongan dewasa.

“Berdasarkan persembahan murid pada PPSK kali ini, ia menampakkan keupayaan mereka menyampaikan ilmu pengetahuan mengenai pelaburan secara jelas dan berkeyakinan kepada umum seperti apa itu hibah, perancangan bersara dan tabung amanah yang mungkin ada sesetengah golongan dewasa tidak mengetahuinya.

“Persembahan murid juga semakin matang berbanding tahun-tahun sebelumnya menerusi cara penyampaian dan penceritaan mereka, dan ini semua hasil penganjuran PPSK sejak dua tahun lalu,” katanya dalam sidang media penyampaian hadiah PPSK di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

PPSK yang merupakan acara kemuncak program Kemuncak Literasi Kewangan ASNB 2018 disertai 50 sekolah rendah dengan 10 sekolah bertanding pada peringkat akhir.

Pada tahun ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, Terengganu dinobatkan juara PPSK, sekali gus meraih hadiah berupa sijil ASB bernilai RM7,900 diikuti SK Sembulan, Sabah (kedua); SK Abu Bakar, Kedah (ketiga); SK Kangkar Pulai, Johor (keempat); dan SK Kiaramas, Wilayah Persekutuan (kelima).

Menurut Mohammad, penganjuran Literasi Kewangan ASNB bukan semata-mata berkisar mengenai kewangan atau perkiraan seperti yang dianggap oleh sesetengah masyarakat, sebaliknya sebagai program memberi pengetahuan umum dan berkaitan dengan kehidupan harian masyarakat.

“Hal ini dibuktikan dalam pertandingan kuiz pelaburan yang dimenangi agensi yang tidak berkaitan dengan pelaburan atau kewangan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kategori badan beruniform dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Hussein Onn, Johor untuk kategori IPG, walaupun pelajarnya bukan daripada jurusan matematik tetapi seni muzik,” ujarnya.

Jelasnya, kandungan semua program dibangunkan berdasarkan kategori peserta bagi memastikannya relevan dengan golongan sasar.

Pertandingan Kuiz Pelaburan 2018 disertai 63,000 peserta yang mengambil bahagian secara dalam talian sejak awal tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN