PONTIAN 29 Okt. – Buat pertaman kalinya Johor menjadi lokasi Konvensyen Sedunia Huang ke-13 selama tiga hari di tiga buah daerah bermula pada 23 November ini.
Konvensyen Sedunia Huang yang dianjurkan Persatuan Ng Pontian melibatkan lokasi di Persada Johor, Johor Bahru, Forest City, Iskandar Putari dan Sekolah Menegah Pei Chun Pontian.
Seramai 2,200 ahli delegasi dari 12 buah negara akan berkumpul dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan merasmikan konvensyen berkenaan di Persada Johor.
Pengerusi Persatuan Ng Pontian, Datuk Ng Sea Bu berkata, kehadiran Sultan Johor amat dihargai penganjur dan masyarakat Cina kerana baginda begitu mesra dan mengambil berat soal perpaduan kaum di negeri ini.
Menurut beliau, konvensyen diadakan bertujuan merapatkan hubungan ahli dari seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti keagamaan, lawatan dan jamuan.
“Konvensyen ini juga dapat mempromosikan Johor kepada ahli delegasi dari 12 buah negara antaranya China, Moris, Indonesia, Singapura, Korea, Taiwan, Kemboja, Filipina, Vietnam, Thailand dan Hong Kong.
“China menghantar delegasi teramai iaitu seramai 1,100 orang manakala dari Malaysia seramai 400 orang,” katanya dalam sidang akhbar sempena konvensyen tersebut di Pejabat Persatuan Ng Pontian di Jalan Sungai Gurap di sini hari ini.
Hadir sama penyelaras program, Datuk Ng Chong Boon.










