Kontraktor dakwa JKR Perlis tidak telus - Utusan Malaysia

Kontraktor dakwa JKR Perlis tidak telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 1 Okt. – Para kontraktor dari Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Perlis menzahirkan rasa kesal, kecewa seterusnya membantah tindakan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang disifatkan tidak telus dalam soal pembahagian projek-projek kecil melibatkan nilai bawah RM200,000.

Mereka mendakwa, jabatan itu telah memilih individu tertentu atau kroni-kroni melibatkan pemimpin kerajaan negeri melalui proses undian secara tertutup sehingga menyebabkan lebih 1,000 kontraktor di bawah persatuan tersebut sering kali berputih mata.

ZAINOL HASSAN
ZAINOL

Timbalan Yang Dipertua PKMM negeri, Zainol Hassan berkata, cabutan undi untuk mendapatkan sesuatu projek bagi kontraktor gred G1 sepatutnya dibuat secara terbuka membabitkan semua pihak bukannya menawarkan kepada individu tertentu sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dakwa Zainol, malangnya hanya kontraktor tertentu sahaja yang dipanggil untuk membuat cabutan undi dan seterusnya mendapat projek.

“Sepatutnya jika ada projek, undian terbuka harus dilakukan walaupun hanya melibatkan projek yang sedikit,” katanya ketika ditemui selepas bersama lebih 50 ahli persatuan itu mengadakan bantahan di pejabat JKR negeri, di sini hari ini.

Untuk rekod, projek melibatkan kontraktor gred G1 tidak memerlukan tender terbuka sebaliknya hanya melalui cabutan undi terbuka dengan kos setiap projek tidak melebihi RM200,000.

FATIMAH BIDIN
FATIMAH

Sementara itu, seorang kontraktor, Fatimah Bidin, 54, mendakwa, tindakan itu bukan baharu malah sudah berlarutan sejak tahun 2013.

Dakwanya, setiap kali itu juga, hanya kroni-kroni pemimpin politik tertentu di dalam kerajaan negeri sahaja yang mendapat kontrak melibatkan projek-projek kecil tersebut.

“Kami membuat bantahan kerana sudah tidak boleh bersabar dengan ketidaktelusan pihak terbabit. Kami mahu JKR telus, apa salahnya adakan undian secara terbuka bukannya melakukan undian tertutup melibatkan individu-individu tertentu sahaja.

“Difahamkan dalam bulan ini sahaja sudah dua kali undian melibatkan projek-projek kecil ini diadakan secara tertutup.

Malah hari ini juga, difahamkan, pihak JKR mengadakan undian secara tertutup namun terpaksa membatalkannya apabila mendapat maklum pihak kami mengetahui mengenainya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah JKR negeri, Rahmat Abd. Rahman ketika dihubungi berkata, beliau sedia maklum mengenai proses undian itu namun enggan mengulas lanjut kerana berada di luar kawasan.

Manakala Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Mohd. Syukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada pihak kontraktor tersebut berhubung soal berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini