Kolej Kemahiran Wanita Kelantan bakal dibuka 2021 - Utusan Malaysia

Kolej Kemahiran Wanita Kelantan bakal dibuka 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 15 Okt. – Kerajaan Pas Kelantan menjangka dapat membuka Kolej Kemahiran Wanita Kelantan seawal-awalnya pada 2021.

MUMTAZ MD. NAWI
MUMTAZ MD. NAWI 

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, penubuhan kolej tersebut adalah sebahagian daripada janji dalam manifesto Pas negeri pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU 14) yang lalu.

Beliau berkata, kolej kemahiran tersebut menawarkan pendidikan dan kemahiran yang bersepadu dengan aspek spiritual sebagaimana konsep institusi seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Penubuhan kolej ini adalah kesinambungan daripada Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) yang sekarang ini menawarkan kursus tahap sijil.

“Kita sudah melakukan lawatan ke institusi kemahiran dalam negara dan juga luar negara seperti Thailand dan Indonesia untuk mencontohi amalan terbaik masing-masing,” katanya selepas Majlis Graduasi Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Kali Ke 13 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Seramai 345 graduan dari 45 buah PPWK seluruh negeri menerima sijil mereka pada majlis itu yang telah dirasmikan isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid.

Sementara itu, Mumtaz berkata, kolej kemahiran wanita itu bakal menawarkan pengajian tahap diploma dalam bidang jahitan, sulaman, masakan dan kraftangan.

Tambahnya, kolej itu juga diharap dapat membantu melahirkan bakat dalam warisan kesenian negeri seperti songket yang semakin ketandusan penggiat.

“Kita berharap untuk melahirkan sumber tenaga wanita yang Islamik, kita realistik kerana kita sudah ada pengalaman dengan PPWK yang beroperasi sejak 13 tahun lalu dan mempunyai tenaga pengajar mahir yang ada jati diri untuk melaksanakannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN