Ketidakhadiran menteri Kabinet di Parlimen perkara biasa - Utusan Malaysia

Ketidakhadiran menteri Kabinet di Parlimen perkara biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff menyifatkan ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen sebagai perkara biasa yang berlaku di mana-mana negara.

Malah, beliau berpandangan, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana ahli Parlimen.

“Ini adalah perkara biasa, dari dahulu sampai sekarang memang itulah Parlimen. Kalau kita ambil contoh Parlimen luar negara, sama sahaja.

“Kita bukan seperti Parlimen di Australia yang mana semua orang berada dalam satu bangunan. Menteri di sebelah kiri, Parlimen di tengah, jadi mereka boleh datang secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Buku Undang-Undang (Janab Law Series) oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer di bangunan Parlimen, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah memuat naik gambar yang memaparkan barisan kerusi menteri dan timbalan menteri yang kosong ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat.

Catatan tersebut seterusnya tular dan mengundang reaksi kurang senang para netizen yang mempersoalkan mengapa situasi itu berlaku dalam era Malaysia Baharu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut, Mohamad Ariff berkata, selagi kuorum mencukupi, ia sudah memadai untuk meneruskan sidang.

“Kalau sudah pukul 12 tengah malam, takkan perlu ada 222 ahli Parlimen juga. Selagi ada kuorum, sudah memadai.

“Ini kerana apa yang dibahaskan di Parlimen akan dirakam dalam penyata rasmi. Itu yang penting,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim yang meminta supaya elaun ahli Parlimen yang gagal hadir menghadiri sidang Dewan Rakyat dikaji semula, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai terlalu drastik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×